Wednesday 6 April 2011

Rujuk majlis fatwa -- Isu suami jadi suri rumah, isteri keluar cari rezeki

PEKAN 13 Mei - Isu suami menjadi suri rumah, manakala isteri keluar mencari rezeki perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk diputuskan kerana ia menyentuh soal hukum syarak, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu perlu kerana jika terlalu banyak kenyataan dibuat, ia dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

Beliau mengulas kenyataan Mufti Johor, Datuk Noh Gadut mengenai fenomena songsang suami menjadi suri rumah, manakala isteri bekerja yang disifatkan sebagai melanggar hukum syarak. Ketika ditanya pandangan beliau berhubung kenyataan tersebut, Najib berkata, ia hanya pandangan seorang mufti dan tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang rasmi sebagai fatwa. ``Kenyataan itu hanya merupakan pandangan daripada seorang mufti yang belum lagi menjadi fatwa kerana setiap perkara yang berhubung kait dengan hukum syarak perlu dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk dibincangkan terlebih dahulu. ``Jadi itulah bezanya, kita serahkan kepada mufti-mufti untuk beri pandangan mereka,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Pembantu Pertolongan Cemas Dalam Setiap Rumah di Sekolah Kebangsaan Ganchong, di sini hari ini. Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan kenyataan Noh bahawa fenomena itu jika berterusan boleh menyebabkan sesuatu perkahwinan tidak beroleh keberkatan. Menurutnya, tanggungjawab suami sebagai pemimpin dan pencari nafkah keluarga jelas dinyatakan dalam al-Quran, antaranya surah an-Nisa ayat 34 dan surah al-Baqarah ayat 233 serta hadis nabi, ijmak ulama dan qias. Sementara itu, beberapa tokoh agama yang dihubungi oleh Mingguan Malaysia hari ini berpendapat, fenomena songsang ini wajar dinilai semula supaya ia tidak menjadi budaya dalam masyarakat. Menurut mereka, jika dibiarkan berleluasa, dikhuatiri akan menghakis fungsi hakiki kaum lelaki sebagai pemimpin keluarga.

Bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Pirdaus Ismail berkata, kenyataan Noh bahawa suami yang memilih menjadi suri rumah dan membiarkan isteri mencari nafkah sedangkan dia mampu bekerja sebagai melanggar hukum syarak, perlu diteliti sehalus mungkin. ``Walaupun dibolehkan jika keadaan mendesak, dikhuatiri akan membawa perubahan besar terhadap struktur sosial masyarakat dan mengubah keseimbangan dalam institusi perkahwinan,'' ujarnya.

Rektor Kolej Islam Darul Ridzwan, Ipoh, Perak, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussain pula berkata, lelaki yang membiarkan isteri mencari nafkah dengan niat bersenang-lenang dengan hasil pendapatannya, haram di sisi agama. Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu menjelaskan, suami diharamkan `memakan' wang gaji isteri kerana ia boleh menyebabkan mereka menjadi pemalas. ``Prinsip Islam pada asasnya mewajibkan golongan lelaki keluar mencari nafkah kerana mereka ketua keluarga,'' ujarnya.

Presiden Persatuan Ulama Malaysia, Mohd. Saleh Ahmad berpendapat, fenomena tersebut dibolehkan jika suami isteri saling meredai dengan syarat isteri menjaga maruah keluarga. Ketua Wanita Jemaah Islam Malaysia (JIM), Dr. Harlina Halizah Siraj pula berkata, apabila suami tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna, pasti berlaku kepincangan dalam rumah tangga yang sering berakhir dengan penceraian. Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Shabudin Yahaya berkata, pasangan Islam yang terlibat dalam fenomena songsang seperti itu terdedah kepada risiko penceraian apabila isteri berlaku nusyuz.

No comments:

Post a Comment